N9 optimis capai sasaran pelaburan baharu lebih RM10 bilion
Kerajaan Negeri Sembilan optimis untuk mencapai sasaran pelaburan baharu melebihi RM10 bilion pada tahun ini sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagu negeri itu.
Keyakinan itu disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berdasarkan kewujudkan beberapa kawasan perindustrian baharu yang telah siap sepenuhnya yang berupaya menarik minat pelabur dalam dan luar negara.
“Dengan adanya kawasan industri itu, kita yakin ia menyumbang kepada pelaburan baharu. Pelabur juga menunjukkan minat dan datang bertanya pada Invest NS bagi melihat potensi di negeri ini.
“Ia (Invest NS) adalah pusat menyampaikan maklumat tentang pelaburan dan membantu pelabur berminat untuk terus melabur di sini, kita beri bantuan teknikal dan kelulusan segera bagi memastikan proses dilaksanakan dengan cepat dan cekap,” jelasnya.
BACA LAGI: N9 terus cemerlang, catat pelaburan tertinggi dalam sejarah pada 2023
Ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Seremban, Aminuddin turut memaklumkan sudah ada beberapa syarikat besar (mahu melabur) ke negeri itu pada tahun ini.
Beliau sebelum ini memaklumkan Negeri Sembilan berjaya mencapai sasaran pelaburan yang ditetapkan melalui 189 projek diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM10.1 bilion pada tahun lepas iaitu lonjakan 13 peratus berbanding RM8.9 bilion pada tahun sebelumnya.