Parlimen

RUU Akta Perkhidmatan Parlimen bakal dibentangkan, beri pembangkang peruntukan bagi kawasan masing-masing

Rang Undang-Undang (RUU) untuk menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen baharu dan meminda Perlembagaan Persekutuan kini sudah mencapai 90 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu sudah dipersetujui secara berprinsip perdana menteri dan ahli Jemaah Menteri dan bakal dibentangkan ke Dewan Rakyat.

“Mereka telah bersetuju secara berprinsip bagi meminda Perlembagaan Persekutuan dan menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen yang baharu. Maknanya kerajaan tiada halangan, bersetuju secara prinsip,” jelasnya di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut beliau berkata, langkah reformasi ini selaras dengan matlamat kerajaan ke arah memartabatkan doktrin pengasingan kuasa antara badan perundangan dengan badan eksekutif dan terus memperkasakan semangat Perlembagaan.

Akta itu yang pernah diwartakan pada 1963 ditarik balik pada 1992, kini mahu dikembalikan semula supaya Parlimen dapat benar-benar bebas dan mampu memutuskan hal berkaitan kewangannya sendiri, pentadbiran dan kakitangan.

Dijangkakan dengan kembalinya Akta Perkhidmatan Parlimen membolehkan ahli Parlimen pembangkang menerima peruntukan pembangunan bagi kawasan masing-masing

“Parlimen akan bebas dengan kuasa untuk menentukan hala tuju dan kemudahan sendiri, bukan hanya untuk Speaker atau Setiausaha dewan serta kakitangan, tetapi juga untuk ahli Parlimen.

“Kita akan dapat memulakan perbincangan mengenai isu peruntukan, arah… kita akan mempunyai kebebasan untuk membincangkan semua ini.

“Ia akan membentuk cara baru bagaimana Parlimen dan pihak eksekutif berurusan satu sama lain,” jelasnya.

BACA LAGI: Peruntukan besar kerajaan kepada usahawan rancakkan pembangunan PMKS

Azalina turut memaklumkan, beberapa sesi libat urus telah diadakan pada 2023 dan tahun ini (2024) dengan semua pihak berkepentingan termasuk YDP Dewan Negara, YDP Dewan Rakyat, Setiausaha Dewan Negara, Setiausaha Dewan Rakyat, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Turut terlibat Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri bagi memuktamadkan ketetapan dasar berkenaan dalam perkara ini,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button