Semasa

SKSPS dilancarkan, manfaatkan 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan pemandu bas sekolah

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mensasarkan 50,000 pemandu teksi, bas sekolah dan kereta sewa menerima manfaat daripada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook ketika melancarkan inisiatif itu di Putrajaya pada Rabu berkata, kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu melibatkan tajaan kepada 35,000 pemandu teksi, pemandu kereta sewa dan 15,000 pemandu bas sekolah yang bekerja sendiri.

Melalui inisiatif itu, sebanyak 90 peratus caruman untuk setahun akan ditanggung PERKESO manakala bakinya dibiayai oleh MOT melalui hasil penjualan nombor pendaftaran ‘GOLD’ yang dianggarkan berjumlah RM1.165 juta.

“Apa yang penting dengan ada caruman ini, selain pemandu, perlindungannya juga adalah kepada keluarga mereka kerana apa sahaja yang berlaku, yang menjadi mangsa termasuk mungkin hilang punca pendapatan, adalah keluarga mereka,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif tersebut yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia (KESUMA), Steven Sim Chee Keong

Skim SKSPS memberi perlindungan kepada individu yang layak mencarum termasuk dalam 20 sektor yang bekerja sendiri secara informal akan melindungi mereka dari bencana pekerjaan termasuk penyakit dari pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

BACA LAGI: 200 anak pemandu teksi GTSM terima bantuan awal persekolahan

Sementara itu, Steven Sim berkata, individu yang bekerja di sektor informal hanya perlu membayar baki sebanyak 10 peratus atau RM23.30 bagi perlindungan selama dua belas bulan dengan faedah termasuk tanggungannya serta penyediaan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Jelasnya, meskipun terdapat 2.98 juta rakyat Malaysia bekerja sendiri, namun hanya 14.56 peratus atau 433,881 pencarum aktif bagi individu bekerja sendiri yang direkodkan oleh PERKESO.

Untuk maklumat lanjut mengenai PERKESO, layari www.perkeso.gov.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan 1300 22 8000.

Related Articles

Back to top button