KPDN pantau, kekang penjualan kurma Israel
Pemantauan berterusan akan dilaksana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengekang penjualan kurma dari Israel termasuk yang dijual secara dalam talian.
Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pemantauan melalui pelbagai akta khususnya Akta Perihal Dagangan 2011 bagi mengelakkan produk kurma itu ditawarkan kepada pengguna.
“Kita telah serta-merta memasukkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan terma rujukan Op Pantau yang kita lancarkan khas untuk Ramadan dan Aidilfitri ini bagi melihat secara terperinci berkaitan dengan penjualan kurma yang didakwa tersebut.
“Kita amat berharap kerjasama daripada seluruh masyarakat dan aduan awam dalam platform-platform rasmi yang wujud di KPDN,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Perkara itu dinyatakan Armizan bagi menjawab soalan seorang Ahli Parlimen yang mahu tahu tindakan kerajaan memastikan produk-produk Israel tidak mudah dapat masuk ke negara ini.
Ia susulan tindakan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada 12 Mac lalu yang merampas 73 pek buah kurma disyaki produk dari Israel dalam satu serbuan di sebuah gudang penyimpanan makanan di Klang, Selangor.
Mengulas lanjut Armizan berkata, kementeriannya memandang serius isu berkenaan tersebut dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan untuk mengelirukan pengguna.
“Di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan 2011, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan penalti seperti individu didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala syarikat boleh didenda sehingga RM250,000,” tegasnya.
BACA LAGI: Harga dan bekalan ayam stabil – Mohamad Sabu
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan sebagai mengulas mengenai isu harga makanan di bazar Ramadan yang mahal sehingga tular di media sosial berkata, 3,099 premis telah diperiksa setakat ini.
Melalui Op Pantau 2024 sempena Ramadan itu 11 kes direkodkan termasuk enam kes membabitkan pencatutan.
“KPDN telah mengeluarkan notis untuk peniaga tersebut menjawab dan memberi maklum balas tentang harga ditawarkan.
“Namun, KPDN mengharapkan aduan itu spesifik supaya kita boleh membuat pemeriksaan di lokasi yang dinyatakan dalam aduan, bukannya sekadar ditularkan harga tersebut.
“Kita juga merayu kepada pengguna untuk menggunakan hak mereka dalam memilih produk pada harga berpatutan,” katanya.