Nasional

Malaysia sita RM990 juta harta terkait jenayah dadah sejak 2019 – Menteri

Malaysia berjaya membanteras jenayah berkaitan dadah bernilai RM990 juta (USD210 juta) sejak 2019, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, menyedari kaitan antara pengedaran dadah, rasuah dan lain-lain bentuk jenayah terancang, Malaysia kekal teguh melaksanakan strategi berkesan memerangi ancaman berkenaan melalui langkah penguatkuasaan undang-undang ketat.

“Selain itu, agensi penguatkuasaan undang-undang kita telah berjaya membongkar 98 makmal sulit dan menahan 351 individu yang terlibat dalam kegiatan haram itu.

“Kita juga telah mencapai kemajuan ketara sejak lima tahun lepas, tetapi masih banyak kerja yang perlu dilakukan,” katanya pada Segmen Peringkat Tertinggi Suruhanjaya Mengenai Narkotik Dadah ke-67 Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) di Vienna, Austria pada Khamis.

Saifuddin berkata, dalam mengawal pengedaran dadah dan bahan psikotropik, sebanyak 16,865 kebenaran import dan eksport atau permit telah dikeluarkan sejak 2020 hingga tahun lalu.

“Penemuan makmal analisis mengenai pengesanan bahan baharu berfungsi sebagai asas untuk mengawal selia bahan-bahan berkaitan di bawah undang-undang negara kita,” katanya.

Katanya, Malaysia akan terus meningkatkan kerjasama antarabangsa dan serantau dalam memerangi masalah dadah di dunia selaras dengan perjanjian antarabangsa dan serantau serta Pelan Strategik Anti Dadah Malaysia 2021-2025.

Saifuddin berkata, usaha itu akan terus diperkukuhkan untuk mencegah jenayah berkaitan dadah.

“Malaysia akan terus mengukuhkan kerjasama dengan negara lain dan organisasi antarabangsa untuk mengekang pengilangan, pengeluaran dan pengedaran dadah terlarang.

“Selain memudahkan pertukaran maklumat, kepakaran dan amalan terbaik untuk meningkatkan usaha kolektif untuk mencegah jenayah berkaitan dadah,” katanya.

Tambah Saifuddin, Malaysia akan terus memperluaskan kerjasama dua hala, khususnya dengan negara jiran terdekat dan mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif serantau dan antarabangsa untuk menangani isu dadah terlarang.

Related Articles

Back to top button