Semasa

Mindef peruntukkan RM69 juta untuk baik pulih kediaman anggota TUDM

Kementerian Pertahanan (Mindef) memperuntukkan RM69 juta kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi membaik pulih dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan pembaikan dan penyelenggaraan RKAT untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjumlah RM400 juta diberikan kerajaan bagi 2024.

“Daripada RM69 juta untuk TUDM, RM7.01 juta untuk selenggara di TUDM Subang.

“Kita beri perhatian serius soal ini kerana kita percaya ia membantu kesejahteraan anggota, itu sangat penting, ia libatkan soal rumah.

“Dengan rumah yang sempurna, anggota boleh bina keluarga bahagia dan dalam jalankan tugas tak perlu fikir keselamatan keluarga, atas dasar itu kerajaan prihatin lihat keadaan dan sudah tiba masanya rumah ini sebagian besar di naik taraf dan diselenggara,” katanya pada sidang media selepas melawat rumah anggota di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.

Menurut Khaled, terdapat kira-kira 185 unit kediaman dikenal pasti memerlukan penambahbaikan dan penyelenggaraan di TUDM Subang.

Setakat ini 65 unit (rumah) sudah diselenggara dan berbaki 120 (unit rumah) lagi akan melalui proses sama.

“Tahun ini kita bernasib baik ia disalurkan awal tahun jadi saya percaya ia dapat disempurnakan ikut jadual tahun ini,” katanya.

BACA LAGI: Inisiatif Simpanan Pendidikan Madani untuk anak warga tentera diperkenal

Pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut meluangkan masa berbuka puasa dengan warga TUDM di Masjid Al-Muhajirin di Pangkalan Udara Subang dan mengagihkan sumbangan kepada 20 warga TUDM bagi meringankan beban khususnya dalam menyambut Ramadan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan RM400 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih semua RKAT seluruh negara.

Jumlah itu adalah peningkatan berbanding RM200 juta diumumkan dalam bajet tahun sebelumnya.

Selain itu sejumlah RM20 juta turut disediakan untuk menaik taraf sistem pembentungan Kem Tentera Darat secara berfasa.

Related Articles

Back to top button