Global

Mohammad Mustafa dilantik sebagai Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin yang baharu

Presiden Palestin Mahmoud Abbas menamakan Mohammad Mustafa sebagai Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang baharu.

Agensi berita Palestin Wafa melaporkan, pelantikan Mustafa dibuat selepas tekanan meningkat bagi mereformasi pentadbiran wilayah Palestin yang diduduki selain memperbaiki tadbir urusnya di Tebing Barat.

Mustafa menggantikan bekas Perdana Menteri Mohammed Shtayyeh yang bersama-sama kerajaannya, meletak jawatan pada Februari untuk memberi laluan kepada pemerintah yang terdiri daripada golongan teknokrat dan ahli perniagaan.

Mustafa, salah seorang tokoh perniagaan terkemuka Palestin dan sekutu jauh Mahmoud Abbas ketika menyelia pembinaan semula Gaza di bawah pemerintahan Hamas.

Mustafa, 69, yang dihormati oleh banyak pihak berkepentingan antarabangsa, memegang ijazah kedoktoran dalam bidang ekonomi dari Universiti George Washington dan pernah bekerja selama 15 tahun di Bank Dunia.

Beliau juga pernah mengendali syarikat Telekomunikasi Palestin (Paltel), dan terbaharu Dana Pelaburan Palestin, (PIF) dengan hampir $1 bilion aset yang membiayai projek di seluruh wilayah itu.

Beliau sejak sedekad lalu terlibat mengetuai usaha pembinaan semula Gaza selepas perang terdahulu antara Israel dan Hamas.

Mustafa juga pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri Palestin dari 2013 hingga 2014, Menteri Ekonomi, Penasihat Ekonomi kepada Abbas dan Pengerusi Dana Pelaburan Palestin sejak 2005.

Justeru, pemimpin Palestin memberi harapan beliau mampu menjadi tokoh penyatu bagi membina semula enklaf itu selepas hampir lima bulan dikuasai Israel.

Related Articles

Back to top button