Politik

Pas jelaskan hutang berjumlah RM659,000 kepada bekas pencetak akhbar Harakah

Parti Islam Se-Malaysia (Pas) akhirnya berjaya menjelaskan hutang yang berjumlah RM659,000 kepada bekas pencetak, Harakah iaitu akhbar rasmi parti berkenaan seperti yang diputuskan oleh mahkamah.

Difahamkan, pembayaran tersebut dibuat melalui serahan cek kepada peguam yang mewakili NAJ Press Resources (M) Sdn Bhd pada 7 Mac lalu.

Pada 5 Disember tahun lalu, Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur membenarkan tawaran NAJ Press Resources untuk membuat penghakiman ringkas (keputusan tanpa perbicaraan penuh), dan memerintahkan Pas serta dua yang lain membayar RM656,233.69 kepada pencetak itu.

Meskipun Pas telah memfailkan rayuan pada 14 Disember, mereka akhirnya menarik balik rayuan tersebut terhadap keputusan Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.

Memetik Malaysiakini, peguam yang mewakili NAJ Press Resources, Putra Taulan Rasul, mengesahkan perkara tersebut dan menyatakan bahawa Pas telah menyelesaikan bayaran penghakiman serta menarik balik rayuan mereka.

Terdahulu, satu surat telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan yang memohon sumbangan untuk menyelamatkan Harakah bagi membiayai perintah pembayaran mahkamah kepada NAJ Press Resources.

Bagaimanapun, kesahihan surat tersebut tidak dapat dipastikan selepas beberapa pimpinan Pas yang dihubungi tidak memberikan sebarang respons.

Untuk rekod, pada Ogos 2019, menurut laporan Malaysiakini mendedahkan pertikaian hutang yang melibatkan Harakah dan dua pencetaknya ketika itu iaitu Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd dan NAJ Press Resources.

Hasil siasatan mendapati jumlah hutang dengan Angkatan Edaran dilaporkan berjumlah lebih daripada RM2 juta, namun syarikat tersebut telah diisytiharkan muflis.

Difahamkan, pengurusan yang sama menubuhkan NAJ Press Resources sebagai pengganti dan terus mencetak Harakah.

Firma guaman Putra Taulan & Faiq Azizan mewakili NAJ Press Resources.

Related Articles

Back to top button