Semasa

Pemikiran khawarij dan takfiri semakin membimbangkan – Menteri Agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan kebimbangan terhadap gelombang pemikiran khawarij dan takfiri di negara ini yang berada dalam tahap membimbangkan.

Sesama sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di Dewan Rakyat pada Khamis beliau berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan untuk memastikan segala usaha dan program-program yang diadakan dapat membendung gelombang pemikiran itu.

“Bagi menangani pemikiran khawarij dan takfiri daripada terus berleluasa, pihak kerajaan sentiasa memantau pengajaran agama Islam sama ada melalui ceramah dan kelas-kelas pengajian di tempat awam seperti masjid dan surau juga dalam media sosial agar dapat memupuk semangat perpaduan dan tidak menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Pemikiran khawarij merujuk kepada gerakan menjatuhkan mana-mana pemerintah sah yang dilabelkan golongan itu sebagai”zalim”.

Manakala takfiri pula merujuk kepada sikap seseorang yang mudah menuduh orang lain keluar daripada Islam.

BACA LAGI: Kerajaan rancang adakan sidang utama ekonomi Islam Mei ini

Sementara itu Mohd Na’im berkata, kerajaan akan memastikan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah benar-benar bertapak dan difahami masyarakat Islam.

Justeru, sekiranya didapati pendakwah menimbulkan isu-isu yang mengelirukan masyarakat dan memecahbelahkan perpaduan, pendakwah terbabit akan dipanggil untuk diberi peringatan oleh Jabatan Mufti dan pihak berkuasa agama boleh mengambil tindakan dengan menarik semula tauliah mengajar sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Kerajaan akan memastikan umat Islam di Malaysia berpegang teguh kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menjauhi sikap mengkafirkan sesama Islam hanya disebabkan berlakunya perbezaan pandangan mengenai isu-isu tertentu,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button