ekonomi

PM Anwar sampaikan ucaptama di acara SME terbesar Jerman

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan ucaptama pada acara SME terbesar, Zukunftsag Mittelstand atau Hari Masa Depan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Jerman

Dianjurkan oleh Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW) , acara itu menghimpunkan kira-kira 5,000 usahawan selain tokoh korporat serta figura penting kerajaan.

Ia menjadi medium kepada pengusaha PKS untuk mengembangkan jaringan dan mengadakan perbincangan dengan pembuat dasar politik serta korporat.

“Ruangan ini saya gunakan untuk sekali lagi mempelawa syarikat Jerman serta perniagaan di Eropah untuk mengambil bahagian, melabur dan menjalin kerjasama dengan Malaysia.

“Saya maklumkan bahawa kerajaan menggalakkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) untuk menerima inisiatif tenaga hijau, termasuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Semoga Malaysia terus berkembang sebagai pintu masuk strategik untuk Jerman atau mana-mana negara ke pasaran ASEAN, Insya-Allah,” kata Anwar melalui satu hantaran di laman Facebooknya.

Anwar disertai oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

BACA LAGI: N9 optimis capai sasaran pelaburan baharu lebih RM10 bilion

Selain deligasi Malaysia, turut hadir ke acara itu ialah Menteri Kewangan Jerman, Christian Lindner; Menteri Digital dan Pengangkutan Jerman, Volker Wissing; Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Perlindungan Iklim Jerman, Robert Habeck.

Selain itu, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin; Menteri Perdagangan Turkiye, Dr. Omer Bolat; dan Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Saleh Al-Khulaifi turut serta pada acara berkenaan.

Enam syarikat Malaysia turut mengambil bahagian dalam pameran yang diadakan sempena acara itu menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Syarikat terbabit ialah Marniq Bersatu Sdn Bhd (syarikat perkhidmatan teknologi maklumat), Primelux Energy Sdn Bhd (pengeluar dan pengedar lampu jalan), Ade Azhar Trading Sdn Bhd (pengedar buku), 59Kopa Sdn Bhd (pengeluar dan pengedar pakaian sukan muslimah), Marrybrown (makanan dan minuman) dan OLDTOWN White Coffee (makanan dan minuman).

Reruai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kelolaan SME Bank dan Persatuan Francais Malaysia turut dibuka bagi mempromosikan PKS Malaysia.

Sebelum menyampaikan ucaptama pada acara itu, Anwar bertemu Naib Canselor merangkap Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Tindakan Iklim Robert Habeck.

Related Articles

Back to top button