ekonomi

74 resolusi, 150 program dalam KEB 2024 dimuktamadkan

Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) yang berlangsung hari ini memuktamadkan

Sebanyak 74 resolusi dan 150 program yang digariskan pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 telah dimuktamadkan.

Ia susulan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

Menurut Ahmad Zahid, resolusi dan program itu, telah dirangkumkan di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera melalui tiga matlamat iaitu, keadilan sosioekonomi, kemampanan negara bangsa dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

“Ini termasuk cadangan Perbadanan Tanah Bumiputera, Tabung Waqaf Mara Madani, Generasi Usahawan Bumiputera dan Pembangunan Tanah Rizab Melayu seperti dinyatakan di dalam KEB 2024 yang dianjurkan pada 29 Feb hingga 2 Mac lepas.

“Selain itu, mesyuarat juga telah menetapkan jeda waktu bagi setiap kumpulan mengemukakan laporan kemajuan secara berkala dan menetapkan sasaran untuk satu sesi pelaporan setahun pelaksanaan KEB dilakukan secara berperingkat dan dibentangkan sepenuhnya pada Mei 2025,” katanya melalui satu kenyataan menyusul mesyuarat itu.

Mengulas lanjut beliau berkata, kejayaan sebenar KEB 2024 terletak pada usaha menyeluruh semua pihak berkepentingan ekonomi Bumiputera untuk menterjemahkan resolusi berkenaan dalam bentuk pelaksanaan yang efektif.

“Ini bagi meningkatkan keyakinan rakyat akan kesungguhan kerajaan dalam melaksanakan apa yang telah di resolusikan,” katanya.

BACA LAGI: Inisiatif diumum langkah tepat perkasa Bumiputera – Penganalisis UKKM

Beliau sementara itu turut memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mac lalu juga bersetuju supaya satu sekretariat tetap ditubuhkan di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).

Ia akan dipengerusikan sendiri oleh perdana menteri, bagi memastikan setiap resolusi tersebut diperhalusi dan dipastikan keberkesanan pelaksanaannya.

“Segala tindakan susulan akan sentiasa diperhalusi, dipantau secara berkala dan pelaksanaannya ditambah baik dari semasa ke semasa, untuk mengangkat darjat ekonomi Bumiputera ke tahap yang lebih baik,” tambahnya,

Related Articles

Back to top button