Sukan

Beregu utama negara, Aaron-Wooi Yik wakil tunggal negara ke pusingan separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2024

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus menggalas cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton All England selepas melayakkan diri ke pusingan separuh akhir.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham, bekas juara dunia itu mendominasi sepenuhnya permainan sebelum menewaskan pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-14, 21-11.

Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik semakin hampir untuk mengulangi pencapaian 2019 di mana mereka berjaya melangkah ke perlawanan akhir sebelum tewas kepada beregu legenda Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

“Kami gembira kerana dapat bermain dengan corak permainan kami hari ini, tahap keyakinan kami juga sangat baik.

“Kami sudah empat kali bertemu mereka sebelum ini dan gembira dapat mencatat satu lagi kemenangan hari ini,” kata Wooi Yik kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Aksi ditampilkan beregu nombor lima dunia itu nyata tidak dapat ditandingi Fikri-Maulana apabila hanya memerlukan masa 31 minit untuk melengkapkan kemenangan bergaya, seterusnya mara ke pusingan empat terbaik.

Justeru, mereka menjadi satu-satunya harapan rakyat Malaysia untuk mendakap kejuaraan pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu selepas beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia terkandas pada perlawanan yang berlangsung lebih awal.

Keputusan itu juga memastikan Aaron-Wooi Yik terus mengekalkan rekod bersih ke atas beregu No.9 dunia berkenaan apabila mencatat kemenangan dalam kesemua lima pertemuan setakat ini.

Menanti pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu di separuh akhir nanti adalah beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan yang menewaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 21-13, 21-17.

Walaupun menang semua tiga pertemuan ke atas lawan sebelum ini namun Aaron-Wooi Yik tetap mengambil pendekatan berwaspada susulan peningkatan prestasi yang ditunjukkan beregu Taiwan itu sejak kebelakangan ini.

Related Articles

Back to top button