ekonomi

Garis panduan kenaikan gaji tahunan dijangka diterbitkan Mei ini – Rafizi

Garis panduan kenaikan gaji tahunan dijangka diterbitkan pada Mei ini, sebelum pelaksanaan projek rintis Dasar Gaji Progresif dilaksanakan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen berkata, projek rintis Dasar Gaji Progresif akan dilaksanakan pada bulan Jun hingga Ogos nanti.

“Bagi memastikan projek rintis ini berjalan dengan lancar struktur tadbir urus merentasi kementerian dan agensi sudah diwujudkan.

“Empat Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif sudah diwujudkan dan sedang melaksanakan gerak kerja untuk memperincikan mekanisme pelaksanaan Dasar Gaji Progresif, iaitu Jawatankuasa Kerja Dasar Gaji Progresif, Jawatankuasa Pembangunan Sistem, Jawatankuasa Peningkatan Kemahiran dan Produktiviti dan Jawatankuasa Kerja Panduan Kenaikan Gaji Tahunan,” katanya.

Beliau berkata begitu sebagai menjawab soalan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Ping yang bertanyakan mengenai garis panduan kenaikan gaji tahunan untuk pendaftaran syarikat projek rintis, selaras dengan garis masa Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif.

Mengulas lanjut perkara itu Rafizi menjelaskan, Jawatankuasa Kerja Pembangunan Sistem akanbertanggungjawab dalam pembangunan sistem pendaftaran dan pemilihan syarikat yang akan menyertai Dasar Gaji Progresif.

Manakala Jawatankuasa Peningkatan Kemahiran dan Produktiviti pula memastikan diwujudkan pembangunan modul latihan dan peningkatan kemahiran.

“Jawatankuasa ini diketuai oleh HRD Corporation dan sedang menyediakan modul latihan yang bersesuaian dengan syarikat Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

“Berdasarkan modul yang sudah disediakan, terdapat 73 peratus kursus yang berdaftar merangkumi latihan bukan teknikal seperti bidang pengurusan, komunikasi, penyeliaan dan liguistik, selebihnya 27 peratus adalah kursus teknikal.

“Selain itu, terdapat 2,000 latihan secara dalam talian (e-Latih) secara percuma juga disediakan,” katanya.

BACA LAGI: Menteri mahu isu gaji Kedah Agro Holdings diselesai segera

Beliau menjelaskan syarikat PMKS yang menyertai Dasar Gaji Progresif akan diberikan bantuan yang berteraskan insentif seperti yang digariskan di dalam ciri-ciri asas Dasar Gaji Progresif.

Kertas putih cadangan Dasar Gaji Progresif dibentangkan di Parlimen 30 November tahun lalu antara lain menjadi satu daripada strategi kerajaan meningkatkan gaji penengah pekerja, sekali gus meningkatkan kadar bahagian pampasan pekerja (CE) dalam tempoh berbaki Rancangan Malaysia ke-12 serta 10 tahun akan datang.

Related Articles

Back to top button