Global

Malaysia kecam Israel susulan serangan terhadap pusat pengagihan makanan di Rafah

Serangan terbaharu rejim Israel ke atas pusat pengedaran makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rafah, Gaza pada Rabu lalu disifatkan menyalahi undang-undang dan tidak berperikemanusiaan.

Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, serangan yang disengajakan terhadap fasiliti, konvoi dan kakitangan PBB adalah pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Justeru Malaysia mengeluarkan kenyataan mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim itu dan mendesak agar gencatan senjata kekal dikuatkuasakan.

“Malaysia mengulangi gesaan agar gencatan senjata serta-merta dan kekal dicapai untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah dan memastikan akses bagi bantuan kemanusiaan tanpa halangan, selamat, mencukupi dan berterusan bagi memastikan makanan, ubat-ubatan, keperluan asasi selamat sampai di seluruh Gaza,” kata kenyataan itu.

Dipetik laporan media, sekurang-kurangnya seorang kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) terbunuh, dan 22 lagi cedera dalam serangan tersebut.

BACA LAGI: Kritikan keras PM Anwar terhadap kuasa barat jadi sorotan media antarabangsa

Wisma Putra menegaskan, keganasan yang melampau oleh Israel terhadap rakyat Palestin dan serangan terhadap kakitangan dan wartawan PBB mesti dihentikan dengan segera.

“Kegagalan masyarakat antarabangsa untuk bertindak akan menyebabkan kehilangan nyawa yang lebih ramai dan menambahkan lagi penderitaan rakyat Palestin.

“Semua negara perlu menjalankan tanggungjawab mereka dari segi kemanusiaan, etika, dan undang-undang kepada rakyat Palestin terutamanya di dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button