Anwar

PM Anwar bertemu eksekutif tertinggi Nexperia di Hamburg, bincang pelaburan baharu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan para pegawai eksekutif tertinggi syarikat semikonduktor berpangkalan di Belanda, Nexperia BV, termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Xuezheng Zhang di bandar pelabuhan utama Jerman ini.

Turut hadir semasa pertemuan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

“Nexperia BV memiliki anak syarikat milik penuh di Malaysia, Nexperia Malaysia Sdn Bhd, yang mengembangkan operasi dengan kilang terbaharunya di Seremban, Negeri Sembilan.

“Dalam pertemuan ini Nexperia BV juga telah memberikan maklum balas terkait operasi mereka di Malaysia serta membincangkan peluang pelaburan baharu yang boleh dilakukan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Semasa majlis pecah tanah pada 2021, dilaporkan bahawa menjelang 2026, Nexperia Malaysia merancang untuk membuat pelaburan tambahan sebanyak RM1.6 bilion bagi bangunan, peralatan dan automasi di Malaysia.

Nexperia merupakan antara pemain terkemuka dalam pengeluaran semikonduktor dan komponen penting yang digunakan dalam pelbagai reka bentuk elektronik.

Antara produk utamanya termasuklah diod, transistor, dan peranti perlindungan nyahcas elektrostatik (ESD) serta litar bersepadu analog dan logik.

Anwar tiba di Berlin, Jerman, pada 10 Mac lepas bagi lawatan rasmi selama enam hari ke ekonomi ketiga terbesar dunia itu.

Related Articles

Back to top button