PM Anwar gesa Malaysia, Jerman guna pengaruh selesai konflik di Gaza
Malaysia dan Jerman perlu menggunakan pengaruh masing-masing untuk mencapai penyelesaian damai dalam konflik di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melontar gesaan itu dalam satu wawancara bersama Agensi Berita Jerman (dpa) bersempena lawatannya ke negara itu.
“Apa yang penting adalah bagi kita (Malaysia), untuk Jerman menggunakan pengaruh kita untuk mencapai penyelesaian secara damai terhadap masalah ini. Apa yang diperlukan sekarang adalah gencatan senjata secara kekal,” katanya.
BACA LAGI: DAP sokong keberanian PM Anwar, wakili suara nurani masyarakat antarabangsa
Melalui wawancara itu juga Anwar memuji Canselor Jerman Olaf Scholz kerana “sangat memahami” dalam usaha untuk memahami kedudukan Malaysia, sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam terhadap Gaza dan organisasi Hamas.
Melalui perbincangan diadakan, Malaysia dan Jerman telah menggesa gencatan senjata secara kekal di Semenanjung Gaza, serta pembebasan tebusan dan bantuan kemanusiaan segera kepada rakyat Palestin.
Anwar dan Scholz bersependapat masyarakat antarabangsa juga perlu berusaha untuk penyelesaian dua negara bagi menyelesaikan konflik selama beberapa dekad di Asia Barat itu.
“Kehidupan, harta benda, maruah” rakyat Palestin mesti dihormati,” tambah Anwar melalui wawancara tersebut.