Sukan

Aaron-Wooi Yik selangkah lagi tamatkan penantian 17 tahun negara juarai beregu lelaki All England

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengesahkan slot ke final Kejohanan Badminton All England 2024, awal pagi tadi.

Beregu negara itu kini hanya selangkah lagi untuk menamatkan penantian 17 tahun kejuaraan bagi kategori beregu lelaki.

Juara Dunia 2022 itu menumpaskan gandingan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan dari Taiwan menerusi permainan straight set 21-16 dan 21-15 dalam tempoh 36 minit pada aksi separuh akhir di Utilita Arena, Birmingham.

Menanti Aaron-Wooi Yik di pentas akhir juara bertahan All England 2023, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Beregu Indonesia itu menumpaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun 21-18 dan 21-18.

Kali terakhir beregu lelaki Malaysia meraih kejuaraan All England ialah pada edisi 2007 menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menumbangkan Cai Yun-Fu Haifeng dari China 21-15 dan 21-18.

Kejayaan Kien Keat-Boon Heong ketika itu hanya diperoleh selepas 25 tahun ia dirangkul oleh gandingan Razif Sidek-Jailani Sidek pada 1982.

Berdasarkan rekod pertemuan, Aaron-Wooi Yik mempunyai kelebihan apabila menang empat daripada tujuh perlawanan ke atas Fajar-Rian dengan kali terakhir menewaskan lawan itu ketika separuh akhir Terbuka India 2023 dalam pertarungan tiga set.

Related Articles

Back to top button