Google diminta jelaskan kesilapan data berkaitan kadar pertukaran ringgit
Pihak Google diminta memberi penjelasan susulan data tidak tepat kadar pertukaran ringgit berbanding AS$1 mencecah RM4.98 yang diterbitkan melalui enjin carian itu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia bukan kesilapan kali pertama berlaku di platform tersebut dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour telah menghubungi pihak Google mengenai perkara itu.
“Kita tahu dan faham Google menjadi salah satu rujukan bagi rakyat Malaysia, maka kita harap penjelasan itu dapat disampaikan juga kepada rakyat,” katanya kepada pemberita pada Program Teh Hijau Kuala Lumpur, di sini pada Sabtu.
Beliau sementara itu menegaskan, paparan data tidak tepat yang diterbitkan itu bukan perkara baik, ia jelasnya telah menimbulkan kegusaran dan salah faham dalam kalangan rakyat Malaysia.
Fahmi turut berterima kasih kepada BNM atas penjelasan pantas yang diberikan berhubung data tidak tepat tersebut.
BNM memaklumkan bahawa ini kali kedua Google menerbitkan data kadar pertukaran AS$/MYR yang tidak tepat tahun ini.
Bank pusat telah menghantar surat peringatan tegas kepada Google semasa salah lapor pertama terjadi pada 6 Februari, 2024 lalu.
BACA LAGI: Sekali lagi tukaran ringgit di Google tidak tepat – BNM
Fahmi sementara itu berkata, ketika kerajaan sedang berusaha memacu pertumbuhan semula ekonomi negara dengan keyakinan yang ditunjukkan kepada pelabur, maka perkara asas seperti itu tidak seharusnya berlaku.
“Ia seharusnya tidak berlaku, ia tidak boleh berlaku, dan kita tidak akan benarkan ia berulang,” tegasnya.