Negeri

Kelantan tidak dipinggir, Kerajaan Perpaduan salur RM153.2 juta untuk wilayah selatan

Sejumlah RM153.2 juta diperuntukkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membangun wilayah Kelantan Selatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukkan itu disalurkan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan pada tahun ini sahaja RM36.47 juta peruntukan merangkumi pelaksanaan 27 program dan projek pembangunan telah diluluskan.

“Sebanyak RM7.2 juta daripada jumlah tersebut telah diperuntukkan kepada rakyat Tanah Merah melalui pelaksanaan pelbagai projek pembangunan antaranya kemudahan awam dan infrastruktur perhubungan yang memberi manfaat langsung kepada lebih 10,000 penduduk.

“Projek utama lain kementerian yang akan dilaksanakan di Tanah Merah ialah menaik taraf jalan ke Kampung Kusial yang akan menelan belanja sebanyak RM42.5 juta,” katanya.

Ahmad Zahid berkata begitu pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Mukim Batang Merbau di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) KESEDAR Datuk Zawawi Othman.

Sementara itu tambahnya, penduduk Tanah Merah turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan Program Perumahan Rakyat Termiskin.

BACA LAGI: Sabah terima peruntukan tambahan RM100 juta selesai bekalan air – Fadillah

Beliau turut menerima beberapa permohonan dan laporan bergambar daripada beberapa masjid serta madrasah di Kelantan yang memohon untuk menaik taraf dan penyelenggaraan seperti membaiki kerosakan bumbung dan dinding roboh serta menukar pintu.

“Atas dasar keprihatinan dan bagi memastikan ruang solat lebih selesa, saya akan meneliti serta mempertimbang setiap permohonan… insya-Allah, jika tiada sebarang masalah untuk meluluskannya, saya akan mengarahkan agar bantuan ini dapat disalurkan sesegera yang boleh,” katanya.

Pengerusi KESEDAR Datuk Zawawi Othman sementara itu berkata pada tahun ini, pihaknya akan memfokus kepada pelbagai program dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur yang sempurna dan lengkap, peningkatan ekonomi serta pendapatan selain pembangunan modal insan masyarakat luar bandar.

Related Articles

Back to top button