Nasional

Kerajaan perlu serius ambil tindakan terhadap kartel padi beras

Wujud kartel beras putih tempatan melibatkan empat hingga lima syarikat besar dipercayai bertindak mengawal jual beli padi sehingga 80 peratus hingga berlaku kekurangan bekalan di pasaran serta peningkatan harga.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan), Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendedahkan maklumat itu diperoleh hasil libat urus bersama pesawah, pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna.

Beliau berkata, isu terbabit bakal dibentang kepada Perdana Menteri Selasa ini agar kerajaan boleh mengambil tindakan serius terhadap syarikat terlibat.

Menurutnya, sikap tamak dan haloba kartel tersebut menyebabkan negara dan rakyat menjadi mangsa kepada krisis ketiadaan beras tempatan dalam pasaran.

“Dalam libat urus yang saya laksanakan, jelas kartel sedang mempengaruhi pesawah- pesawah menawarkan dengan harga yang lebih mahal dan dalam masa sama menekan di peringkat pengguna dengan menjual pada harga lebih mahal.

“Kerajaan tertekan. Jadi, bagaimana nak menyelesaikan masalah kartel ini? Kerajaan juga yang ada kuasa dari segi undang undang untuk menyelesaikan masalah ini.

“Justeru, kerajaan kena serius untuk mengambil tindakan kepada kartel , kerajaan kena serius ambil tindakan kepada kartel,” katanya.

Pada 14 Januari lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit.

Beliau dijadual membuat penjelasan mengenai Beras Putih Malaysia Madani pada Isnin (esok).

Related Articles

Back to top button