Negeri

Selangor tekad jadi negeri lindungi keselamatan kanak-kanak daripada jenayah

Selangor berhasrat untuk menjadi negeri yang selamat didiami oleh semua terutama bagi kanak kanak daripada sebarang unsur jenayah.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu hantaran di Facebook hari ini berkata, tidak kira di mana ancaman tersebut berlaku sama ada di sekolah, di rumah, mahupun di luar, semua pihak yang mempunyai maklumat kepada sebarang gangguan atau eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak harus melaporkannya segera kepada penguatkuasa.

“Kelakuan negatif ini tidak harus dipandang remeh kerana ia berpotensi memberi kesan buruk kepada psikososial dan emosi kanak-kanak yang sudah pasti akan memberi kesan serta trauma jangka panjang yang sukar dipulihkan.

“Kerajaan turut memainkan peranan penting bagi meyakinkan masyarakat bahawa keselamatan semua, terutamanya kanak-kanak dan wanita, serta dalam usaha membanteras eksploitasi dan keganasan berunsur seksual.

“Saya yakin Selangor akan mengorak langkah dalam usaha ini dan ia dapat dibuktikan melalui pelaksanaan Konvensyen Kebangsaan Perlindungan Murid di Shah Alam.

“Kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, terutamanya Kementerian Pendidikan dan Bahagian Undang-undang dan Reformasi Institusi di Jabatan Perdana Menteri amat penting untuk mengukuhkan hasrat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan di Konvensyen Kebangsaan Mengenai Perlindungan Murid Daripada Eksploitasi Seksual di Dewan Jubli Perak yang dirasmikan Menteri Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Amirudin turut menzahirkan terima kasih kepada Azalina dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di atas komitmen berkenaan.

Beliau juga menyatakan penghargaan khas kepada isteri Perdana Menteri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berkongsi pendapat dan inisiatif yang harus disegerakan terkait pengalaman beliau selaku Timbalan Perdana Menteri wanita pertama yang turut memegang tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat dalam kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Related Articles

Back to top button