Parlimen

Daftar, kemas kini PADU elak risiko keciciran berterusan – Rafizi

Sebanyak 4,752 kawasan di semenanjung Malaysia yang mana penduduknya tidak membuat pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) termasuk program bantuan kerajaan sebelum ini.

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli menggesa orang ramai untuk mendaftar dan mengemaskini data di PADU sebelum tarikh akhir 31 Mac 2024 untuk mengelakkan risiko keciciran berterusan.

Menurut beliau, Kedah menjadi antara negeri yang dengan jumlah kurang pendaftar PADU di mana sebanyak 157 bilangan kawasan belum mendaftar diikuti oleh Pahang (70), Perak (67), Terengganu (35), Negeri Sembilan (lapan), Perlis (tujuh), Putrajaya (lima) dan Melaka (dua).

“Dalam konteks pelaksanaan PADU, pengemaskinian oleh rakyat atau rekod pentadbiran individu divisualisasi sehingga di peringkat lokaliti.

“Di antara contoh kawasan adalah seperti lokaliti Projek Perumahan Rakyat, Perumahan Awam, Kondominium, Pangsapuri, Rumah Kos Rendah, Kuarters, Rumah Kedai, Rumah Air, Panjang dan Rumah Sesebuah.

“Penelitian pengemaskinian Padu di peringkat lokaliti ini akan menjadi input untuk memastikan semua kawasan diliputi, mempunyai perwakilan dan tidak berlaku keciciran,” katanya.

Antara negeri yang mencatakan bilangan kawasan tertinggi adalah Selangor dengan jumlah (1,282) kawasan diikuti Kuala Lumpur (992), Sarawak (765), Sabah (620), Johor (271), Pulau Pinang (243) dan Kelantan (228).

Tambahnya, penduduk di lokaliti terbabit berisiko tercicir daripada menerima ataupun dilibatkan dalam apa-apa program atau bantuan kerajaan yang akan datang.

“Tumpuan kementerian dan pasukan PADU dalam tempoh dua minggu ini hingga hari terakhir adalah mempertingkatkan pendaftaran individu dan isi rumah, terutama meliputi kawasan dikenal pasti berisiko terbesar pengecualian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta agar kerajaan negeri mengambil langkah sama iaitu mengumpulkan wakil-wakil penduduk dari kawasan berisiko tinggi keciciran untuk menggalakkan pendaftaran PADU penduduk kawasan tersebut.

Seramai 5.43 juta individu telah mengemaskini data PADU sejak ia dilancarkan pada 2 Januari lepas.

Related Articles

Back to top button