JPM arah Jakim, JHEAT kerjasama siasat usaha hidupkan kembali ajaran ‘Kerajaan Langit’
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah untuk bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi menyiasat kemunculan semula ajaran ‘Kerajaan Langit’ Ayah Pin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dipetik laporan media berkata selain itu, pihak berkuasa polis turut akan menjalankan siasatan mereka sendiri berhubung
“Semua agensi ini akan memantau dan memberi nasihat khususnya kepada penduduk Terengganu untuk berhati-hati dengan ajaran sesat tersebut,” katanya.
Mohd Naim sebelumnya hadir ke majlis penyerahan hadiah sumbangan Raja Arab Saudi bersempena Ramadan tahun ini di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya pada Ahad.
Media sebelum ini mendakwa ada usaha oleh bekas pengikut Ayah Pin atau Ariffin Mohammed untuk menghidupkan ajaran yang pernah difatwakan sebagai sesat itu.
Pendedahan itu dibuat Imam Muda Kulan atau nama sebenarnya, Tengku Azlan Raja Mamat yang merupakan Imam Masjid Gong Pasir, Besut dalam akaun Facebooknya pada Jumaat lalu.
BACA LAGI: Ajaran Ahmadi bersifat pluralisme agama, IKIM ingatkan umat Islam jangan terpedaya
Bagaimanapun, penduduk di Kampung Batu 13 di Hulu Besut menafikan dakwaan terdapat usaha menghidupkan semula ajaran sesat tersebut.
Mereka mendakwa perhimpunan yang sering dilihat itu adalah majlis keramaian dan kenduri-kendara yang dianjurkan oleh ahli keluarga dan saudara-mara Ayah Pin.
Sementara itu Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, pihaknya memantau rapat perkembangan di situ susulan laporan media mengenai dakwaan ada usaha menghidupkan kembali ajaran berkenaan.
“Setakat ini, aktiviti di perkampungan Ayah Pin di Kampung Batu, 13 Besut masih terkawal dan tidak mendatangkan implikasi kepada keselamatan penduduk setempat,” jelasnya.