Kalendar sekolah akan kembali normal pada Januari 2026 – KPM
Sesi persekolahan lebih awal tahun depan bermula Februari antara langkah kerajaan dalam mengembalikan semula sesi pembelajaran kepada Januari pada 2026.
Dalam memastikan hasrat berkenaan tercapai, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjelaskan pihaknya giat menyusun dan mengawal kalendar akademik sepanjang tahun ini.
Katanya, penyediaan mengikut peraturan pendidikan meliputi penggal, hari dan cuti sekolah 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan sesi persekolahan tidak kurang 190 hari.
“Penyediaan draf kalendar akademik 2025 dan 2026 juga berdasarkan maklum balas pihak berkepentingan seperti persatuan guru termasuk Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan, Kesatuan Guru Sarawak dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah,” katanya dalam Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, kalendar akademik itu dipastikan memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum antara 32 hingga 36 minggu bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan.
“Penjajaran kepada jadual peperiksaan awam juga akan dilaksanakan agar selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan,” tambah beliau.
Wong Kah Woh berkata, pengembalian takwim itu kelak akan turut membantu mengurangkan beban tugas guru.
“Kita nak pastikan selain anjakan atau pengembalian sesi persekolahan ke Januari 2026, pada masa sama isu takwim SPM, STPM dan kemasukan ke universiti akan dibuat penyelarasan sepenuhnya,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata sesi baharu persekolahan akan dikembalikan ke Januari pada 2026, berbanding Mac ketika ini berikutan penularan Covid-19.