MARA, Teraju pantau pelaksanaan resolusi KEB 2024
Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bakal memantau pelaksanaan resolusi yang diputuskan pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.
Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui hantaran di laman Facebooknya berkata, dua agensi berkenaan juga akan menyelaras dan mengukur pencapaian resolusi itu dan membuat syor untuk dikemukakan kepada Majlis Ekonomi Bumiputera.
“Agenda pemerkasaan ekonomi bumiputera ini tidak boleh hanya sekadar berkongres dan berkonvensyen.
“Tetapi tindakannya mesti dinilai dan dipastikan keberkesanannya supaya benar-benar bermanfaat untuk rakyat,” katanya.
Kenyataan Asyraf menyusul keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) yang memuktamadkan 74 resolusi dan 150 program yang digariskan melalui pembentangan 10 kumpulan KEB 2024.
Resolusi dan program itu telah dirangkumkan di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera melalui tiga matlamat iaitu, keadilan sosioekonomi, kemampanan negara bangsa dan kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.
BACA LAGI: 74 resolusi, 150 program dalam KEB 2024 dimuktamadkan
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya satu sekretariat tetap ditubuhkan di bawah Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).
Sekretariat itu jelasnya akan dipengerusikan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan setiap resolusi tersebut diperhalusi dan dipastikan keberkesanan pelaksanaannya.