Saya pilih untuk tidak ke luar negeri kerana bukan untuk ‘makan angin’ – PM Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan lawatan rasminya ke luar negara termasuk ke Jerman baru-baru ini dipenuhi urusan sebagai usaha memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia dan seterusnya meletakkan negara sebagai destinasi pelaburan yang baik dan kondusif.
Perdana Menteri mendakwa terdapat pihak menuduhnya hanyalah untuk guna kuasa dan wang kerajaan “untuk bercuti ke luar negara”.
“Sekiranya diberikan pilihan, saya memilih untuk tidak melakukan kunjungan ke luar negeri kerana saya ke sana bukan ‘makan angin’, dan tentunya memenatkan.
“Namun, memahami keadaan negara yang telah ketinggalan dalam beberapa lapangan yang penting seperti AI, peralihan tenaga dan transformasi digital, maka langkah ini harus dilakukan bagi menyatakan jalan kebijakan serta kesediaan Malaysia untuk diberi ruang di dalam lapangan-lapangan tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
Tambah beliau, pentas luar negeri berkenaan juga dimanfaatkan sebaiknya untuk mengenegahkan pendirian dan prinsip negara terutamanya terkait isu warga Palestin yang terus dizalimi.
Katanya lagi, Malaysia konsisten untuk menolak sebarang bentuk keganasan terutamanya kepada kanak-kanak dan wanita serta mendesak gencatan senjata segera dilakukan.
Pada masa yang sama, Anwar turut mengingatkan umat Islam agar menghayati semangat Ramadan dengan memperkukuh disiplin diri dan menyantuni golongan kurang bernasib baik.
“Saya lontarkan betapa pentingnya umat Islam untuk menghayati semangat Ramadan dengan memperkukuh disiplin diri dan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik.
“Adalah penting untuk kita menghayati madrasah Ramadan sebagai wahana menyucikan jiwa dan menghentikan fitnah serta kerja yang sia-sia dan yang tidak membawa manfaat, selain menggarap “the larger ethical question of Ramadan” yakni tentang kebebasan, keadilan dan kesaksamaan,” katanya.