Negeri

Dakwaan Kompleks PKNS bakal dirobohkan palsu

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan dakwaan di media sosial dan media massa kononnya Kompleks PKNS Shah Alam yang berusia lebih empat dekad akan dirobohkan

Menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, PKNS menyatakan rasa kesal atas dakwaan itu dan bakal membuat laporan polis terhadap fitnah yang dilemparkan.

“PKNS ingin menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk merobohkan Kompleks PKNS ini.

“Kompleks PKNS yang berusia 47 tahun itu, adalah salah satu mercu tanda di Shah Alam dan memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan perniagaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar.

“Pada masa sama, PKNS akan membuat laporan polis dan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan penyebaran berita tidak benar ini,” kata agensi itu melalui satu kenyataan.

Terdahulu seorang pengguna X memuat naik ciapan yang mendedahkan Kompleks PKNS, SACC dan SACC Mall akan dirobohkan tidak lama lagi.

Dipetik laporan media, individu itu mendakwa bahawa bangunan yang dirobohkan ini bakal diganti dengan pembinaan kondominium

Sementara itu PKNS menjelaskan, perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Shah Alam itu sebahagian daripada usaha peremajaan bandar di Shah Alam yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Ia seiring usaha PKNS dalam membantu menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sifar karbon.

BACA LAGI: Selangor berhasrat jadi negeri selamat didiami kanak-kanak

“Projek yang menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu akan membabitkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen SACC di mana dari peringkat awal projek ia sama sekali tidak membabitkan bangunan Kompleks PKNS.

“Sebaliknya, kawasan ini akan dinaik taraf bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa serta memberikan pengalaman lebih memuaskan kepada pengunjung dan komuniti setempat,” kata kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button