ekonomi

Google minta maaf siar nilai dagangan ringgit tidak tepat

Google Malaysia pada Isnin membuat permohonan maaf atas kesilapan berkenaan kadar pertukaran Dolar Amerika Syarikat(AS)-Ringgit yang disiarkan di laman kewangannya.

Permohonan maaf itu dinyatakan Google menerusi hantaran di laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

“Kami segera menghubungi pihak ketiga yang memberikan maklumat tentang kadar pertukaran Dolar AS-Ringgit untuk membetulkan kesilapan itu.

“Isu itu kini telah diselesaikan dan kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul,” kata syarikat teknologi multinasional berpengkalan di Amerika Syarikat itu.

Pada 15 Mac lepas Google telah menyiarkan kadar pertukaran Dolar AS-Ringgit yang tidak tepat di laman kewangannya.

Kesilapan itu segera mendapat perhatian dan teguran Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan.

Ini merupakan insiden kedua Google menyiarkan data kadar pertukaran Dolar AS-Ringgit yang tidak tepat pada tahun ini yang mana pertama kali berlaku pada 6 Feb.

Malaysia bukanlah negara pertama yang mengalami perkara ini, dengan insiden serupa berlaku pada tahun-tahun sebelum ini melibatkan Ghana, Pakistan, Maghribi dan Nigeria.

Kesilapan paparan kadar pertukaran asing oleh Google dianggap membimbangkan kerana cenderung menjejaskan sentimen dan menjejaskan kadar pertukaran antara dolar dan mata wang tempatan.

BACA LAGI: Google diminta jelaskan kesilapan data berkaitan kadar pertukaran ringgit

Google sementara itu berkata bahawa paparan kadar pertukaran mata wang disiarkan hanya untuk tujuan maklumat sahaja.

“Sila rujuk sumber rasmi seperti laman sesawang Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat sebarang keputusan kewangan,” kata Google di laman blog mikro itu.

Related Articles

Back to top button