Semasa

KPM galak guru hasilkan kandungan bagi tujuan pendidikan berpandukan garis panduan

Golongan pendidik digalakkan untuk menghasilkan kandungan di media sosial yang memberi manfaat.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, langkah itu selaras dengan garis panduan ditetapkan Kementerian.

“Saya sudah pertegaskan berulang kali bahawa kita ada garis panduan di peringkat kementerian dan kita minta semua guru mematuhi garis panduan berkenaan jika hendak buat kandungan media sosial.

“Kandungan itu boleh dibuat dalam bentuk untuk memberikan pendidikan seperti membantu meningkatkan kefahaman terhadap subjek tertentu untuk murid dan kesedaran berkaitan dengan pembelajaran,” katanya.

Fadhlina ditemui pemberita pada Program Jaulah Ramadan KPM Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Raja Perempuan Taayah di Ipoh pada Isnin.

Beliau sebelumnya diminta mengulas kenyataan Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Rafiq Razali yang mendesak guru supaya tidak menjadikan pelajar mereka sebagai kandungan di media sosial terutamanya jika tanpa kebenaran ibu bapa.

BACA LAGI: KPM umum inisiatif intervensi kurikulum tangani keciciran murid sekolah rendah

Rafiq dilapor berkata, perbuatan menyiarkan pelajar mereka sebagai kandungan dalam media sosial lebih-lebih lagi tanpa kebenaran ibu bapa mereka boleh dianggap sebagai pencerobohan privasi untuk pelajar dan keluarga mereka.

Pada 8 September tahun lalu, Fadhlina dilapor berkata guru yang menjadikan pelajar sebagai kandungan media sosial bakal berdepan tindakan oleh KPM, selain menegaskan kementerian itu tidak akan berkompromi terhadap sebarang isu pelanggaran garis panduan membabitkan murid dalam media sosial.

Related Articles

Back to top button