Parlimen

Pelesenan media sosial untuk tingkat keselamatan dalam talian, elak kandungan berbahaya – Timbalan Menteri

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam proses memuktamadkan rangka kerja untuk melesenkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial beroperasi di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata cadangan itu masih diperhalusi.

“Cadangan penguatkuasaan pelesenan ini disasarkan kepada penyedia perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pemesejan internet yang boleh diakses oleh pengguna di Malaysia, berdasarkan kriteria penilaian yang ditetapkan.

“Cadangan penguatkuasaan pelesenan yang disasarkan juga dianggap berkadar kerana ketersediaan kandungan berbahaya yang tinggi di media sosial dan platform pemesejan internet,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, langkah pengawalseliaan dicadangkan bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian dan menangani kandungan yang melanggar undang-undang negara.

“Langkah-langkah ini selaras pendekatan dan perkembangan global semasa, tanpa berhasrat untuk menyekat kebebasan media,” katanya.

Teo menjawab soalan Shamshulkahar Deli (BN-Jempol), sama ada kementerian memutuskan untuk mewajibkan semua penyedia perkhidmatan platform media sosial beroperasi di negara ini mendaftar dengan SKMM.

Terdahulu, Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata kementerian sedang mengkaji keperluan untuk melesenkan penyedia platform besar seperti Google, Meta, dan TikTok yang menjana pendapatan melalui kandungan daripada organisasi media tempatan.

Related Articles

Back to top button