Semasa

Pengendali pelabuhan diberi amaran keras susulan kontena ZIM terlepas keluar

Kementerian Pengangkutan (MOF) memberikan amaran keras kepada pengendali pelabuhan yang tersilap membenarkan kontena berpangkalan di Israel dari pelabuhan dan berada di lebuh raya.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, pihak kementerian sebelum ini telah memberi arahan jelas agar semua kontena dengan logo ZIM tidak dibenarkan keluar dari pelabuhan dan perlu dikeluarkan ke negara asal mereka.
“Kita baru mendapat laporan…pengendali pelabuhan tersilap terkeluarkan satu kontena ini, jadi memang kita akan beri teguran kepada pengendali pelabuhan ini.

“Ia diberikan satu amaran keras bahawa kita tak nak lihat mana-mana kontena ini keluar dari pelabuhan kita dan apa yang sedia ada itu perlu dikeluarkan (dari negara ini) secepat mungkin,” katanya selepas menghadiri satu acara di Sepang.

Beliau sebelumnya diminta mengulas sebuah video tular mengenai lori kontena ZIM yang berada di lebuh raya negara ini pada 16 Mac lepas.

Disember lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan memutuskan tidak lagi menerima kapal menggunakan bendera Israel memasuki negara ini berkuat kuasa serta-merta, selain melarang kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

BACA LAGI: Malaysia kecam Israel susulan serangan terhadap pusat pengagihan makanan di Rafah

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut memutuskan menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, ZIM berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta

Sementara itu Loke memberi jaminan bahawa perkara sama tidak akan lagi berlaku.

Menurutnya, ketika ini hanya hanya ada empat atau lima sahaja lagi kontena ZIM berada di negara ini.

“Malangnya ada satu terkeluar dari Pelabuhan,” katanya.

Related Articles

Back to top button