Semasa

Harga Beras Putih Import turun sehingga RM3 mulai hari ini – KPKM

Harga jualan runcit Beras Putih Import (BPI) di pasaran turun antara RM2 hingga RM3 berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu dimuktamadkan melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada Selasa.

Jelasnya, pelarasan ini merupakan langkah intervensi yang dilaksanakan oleh KPKM bagi menangani isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran susulan pelarasan BPI oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) pada September 2023.

“Kerajaan optimis inisiatif ini dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup terutama semasa bulan Ramadan dan musim perayaan bakal menjelang,” katanya.

Sementara itu Mohamad berkata, bagi meningkatkan pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) di pasaran, kerajaan memutuskan supaya semua stok semasa padi dan beras yang telah dibeli oleh pengilang berjumlah 140,000 tan metrik dapat diproses dan dikeluarkan untuk kegunaan pasaran tempatan dengan serta-merta.

“Justeru, KPKM akan meningkatkan penguatkuasaan melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di seluruh negara.

“Dalam meluaskan jaringan pengedaran BPT, aktiviti Jualan Agro Madani yang dilaksanakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan diperluaskan dari segi lokasi dan peningkatan kekerapan program,” tambah KPKM.

BACA LAGI: MADA bidas Sanusi susulan tuduhan ada pihak halang Kedah jual beras sendiri

Dalam pada itu, kementerian juga akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang bagi struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.

Ini bagi memastikan industri padi dan beras adalah mampan terutama dalam menjaga kepentikan dan kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beas negara.

Related Articles

Back to top button