Nasional

JAKIM beri amaran keras kepada KK Mart, elak perkara berulang lagi

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyokong tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan stoking tertera kalimah Allah yang tular baru-baru ini.

Ketua Pengarah JAKIM, Datin Paduka Hakimah Mohd Yusoff menerusi sebuah kenyataan memaklumkan bahawa JAKIM telah memanggil Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai pada Selasa dan telah memberi amaran keras supaya perkara ini tidak berulang lagi.

“Amaran keras telah diberikan supaya perkara ini tidak berulang lagi. Pihak syarikat juga telah memberi penjelasan mengenainya dan langkah-langkah untuk mengelakkan isu seumpama ini berulang.

“Pihak KK Supermart & Superstore Sdn. Bhd. juga bersetuju untuk mengkaji dan mengemaskini semula prosedur operasi standard (SOP) syarikat,” katanya.

Tambah beliau, JAKIM turut menyokong tindakan PDRM yang telah membuka kertas siasatan terhadap isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

“JAKIM memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.

“Dalam masa yang sama, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (agama, raja, dan kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button