Global

Kerajaan Indonesia disaran umum pemindahan ibu negara baharu dari Jakarta ke Nusantara

Kerajaan Indonesia disarankan supaya tidak melengahkan pengumuman pemindahan ibu kota dari Jakarta ke Nusantara di Kalimantan Timur.

Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Endro Siswantoro Yahman berkata, status ibu kota Indonesia ketika ini masih tidak diketahui.

Beliau berpendapat, ketidaktentuan itu juga mencetuskan keraguan dalam kalangan pelabur mengenai pelaburan aset mereka di Nusantara.

“Pelaburan global menunggu sama ada ia benar atau tidak. Jika anda serius, (kerajaan perlu) secara politik mengisytiharkannya.

“Apa yang penting ialah pengisytiharan,” katanya ketika mesyuarat kerja dengan Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (OIKN) di Kompleks Parlimen pada Isnin.

Endro berkata, kewujudan aktiviti ekonomi di Nusantara adalah antara elemen yang akan menghidupkan bandar berkenaan.

Katanya, jika Nusantara dikembangkan hanya bagi tujuan aktiviti kerajaan Pusat dan kurang aktiviti perniagaan, ia akan menjadi suram.

Bagi tujuan itu, beliau menasihatkan OIKN supaya berkomunikasi dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri, Arsyadjuliandi Rahman menggesa OIKN supaya lebih aktif berkongsi maklumat mengenai status undang-undang berhubung pelaburan di Nusantara.

Beliau mendedahkan, terdapat keraguan pihak swasta terutama berkaitan isu tanah dan aspek undang-undang.

“Usahawan serantau ingin mendapatkan maklumat bagaimana mereka boleh menyertai pembangunan ekonomi di Nusantara,” katanya.

Pemerintah Indonesia menetapkan matlamat untuk memulakan aktiviti pentadbiran di ibu negara baru pada 17 Ogos 2024, sempena ulang tahun kemerdekaan Indonesia yang ke-79. – Agensi

Related Articles

Back to top button