Semasa

Kerajaan mula pasang lampu LED solar di jalan kampung mulai tahun ini

Kerajaan Perpaduan bakal melaksanakan projek pemasangan lampu LED solar di bawah projek Lampu Jalan Kampung (LJK) bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang memaklumkan perkara itu di Dewan Rakyat sebagai menjawab soalan seorang Ahli Parlimen berhubung cadangan pemasangan lampu LED solar di jalan bawah kelolaan kementerian itu.

Menurut Rubiah, ketika ini kementerian sedang mendapatkan maklumat keperluan serta cadangan lokasi bagi pemasangan lampu berkenaan.

Projek dijangka dimulakan pada suku keempat tahun ini.

“Pada masa ini, jumlah pemasangan yang dibenarkan adalah tidak melebihi 40 unit bagi setiap kampung dan akan dipasang pada jarak yang munasabah, dengan jumlah akhir turut mengambil kira bilangan LJK konvensional sedia ada.

“Kawasan yang layak dipasang lampu LED solar termasuk kawasan luar bandar dan pinggir bandar, kampung Orang Asli, kecuali kampung di bawah rancangan Felda, di luar kawasan pengoperasian PBT (pihak berkuasa tempatan), taman perumahan atau penempatan semula yang dimajukan oleh pihak swasta atau perseorangan.

“Pemasangan juga layak untuk kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik atau sistem talian grid serta kawasan terpencil yang mempunyai kesukaran akses kepada jentera bagi tujuan pemasangan dan penyelenggaraan ataupun di jalan yang tiada sumber utiliti sekurang-kurangnya 100 meter,” katanya pada sesi kamar khas Dewan Rakyat.

BACA LAGI: Kerajaan Kelantan ucap terima kasih kepada pentadbiran PM Anwar

Beliau sementara itu berkata, keutamaan pemasangan lampu LED solar diberi kepada bahagian hadapan bangunan awam seperti balai raya, rumah ibadat, kawasan tumpuan kegunaan awam dan simpang jalan.

Related Articles

Back to top button