Parlimen

Maksud derma RM500 juta, RM750 juta adalah berdasarkan usul YDPA – Dr Zaliha

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa hari ini memberikan penjelasan berhubung kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari lalu.

Zaliha berkata, maksud berkaitan derma RM500 juta dan RM750 juta yang dikeluarkan pada hari tersebut adalah berdasarkan usul oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri adalah sejurus selepas sesi menghadap Al-Sultan Abdullah bagi menyembah maklum urusan kertas-kertas Jemaah Menteri dan hal ehwal semasa.

“Kenyataan media berkaitan derma RM500 juta dan RM750 juta yang dikeluarkan pada hari tersebut adalah berdasarkan usul oleh YDPA.

“Seandainya ada mana-mana pihak yang berkemampuan dan ingin menderma hendaklah disalurkan terus kepada golongan yang memerlukan seperti golongan asnaf dan golongan miskin dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas – Pas) yang meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan maksud di sebalik derma RM500 juta dan RM750 juta seperti dikongsi melalui kenyataan di akaun media sosialnya.

Pada 9 Januari 2024, Perdana Menteri melalui kenyataan memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Istana Negara tidak akan terbabit dalam sebarang percaturan politik.

Melalui kenyataan sama, Anwar berkata seandainya ada cadangan mana-mana pihak untuk menyampaikan derma sebanyak RM500 juta atau RM750 juta, ia hendaklah disalurkan terus kepada asnaf dan golongan miskin dalam negara.

Related Articles

Back to top button