Ekonomi Malaysia telah jadi lebih stabil pascapandemik – PM Anwar
Meskipun Malaysia berdepan dengan pelbagai asakan dan kemeruapan ekonomi global namun ia telah menjadi stabil pascapandemik, kata Perdana Menteri.
Perkara itu dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu hantaran di Facebook dengan menyebut bahawa kadar inflasi pada suku keempat tahun 2023 hanya pada kadar 1.6 peratus berbanding 2.2 peratus pada suku ketiga.
Menurutnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kekal bertumbuh pada kadar 3.7 peratus pada tahun 2023.
“Dengan peningkatan eksport sebanyak 8.7 peratus pada Januari 2024, serta banyak lagi ikhtiar kerajaan untuk merancakkan ekonomi.
“Insya-Allah peningkatan KDNK pada tahun ini akan lebih mampan pada kadar 4 peratus hingga 5 peratus seperti diunjur oleh kerajaan,” katanya pada Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau bertegas bahawa kerajaan pimpinannya akan memastikan rakyat tidak akan ditindas oleh mana-mana pihak yang ingin mendapatkan keuntungan secara berlebihan termasuk melalui jualan beras.
“Bagi memperkukuh bantuan kepada golongan yang perlu, kerajaan akan terus konsisten dengan pendekatan mensasarkan semula bantuan dan subsidi serta memastikan bantuan dan subsidi itu benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan dan ini lebih dekat dengan makna keadilan.
“Sekiranya kita faham bahawa pendekatan subsidi pukal yang diguna pakai dahulu turut memanfaatkan golongan kaya dan warga asing, mengapa lagi mahu diteruskan?” soalnya.
Lantaran itu, Anwar berkata, subsidi mesti diarahkan semula kepada masyarakat yang melarat dan terpinggir dan ini tentunya mencakup golongan miskin bandar dan desa.