Semasa

KPDN selamatkan 8.1 tan makanan tak terjual di pasar Ramadan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyelamatkan 8.1 tan metrik makanan dan minuman di bazar Ramadan seluruh negara dalam tempoh enam hari berpuasa.

Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh berkata, kempen itu yang digerakkan dibawah MYSaveFood berjaya menyelamatkan makanan dan minuman dianggarkan bernilai RM116,000 yang kemudian diagihkan percuma kepada golongan sasar seperti pelajar universiti, asnaf, gelandangan, rumah kebajikan, dan rumah ibadah.

“Antara SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan ialah setiap makanan yang didermakan itu masih elok dan boleh dimakan,” katanya selepas mengadakan lawatan di Bazar Ramadan Rahmah di Sabak Bernam, Selangor pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau menjelaskan, kempen itu digerakkan kementeriannya dengan kerjasama rakan strategik Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA).

Sebanyak 35 Gerakan Pengguna Siswa (GPS) iaitu kelab pengguna di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) digerakkan di seluruh negara bagi menjayakan program berkenaan.

“Pada tahun lalu sahaja kita telah melaksanakan MySaveFood di 55 bazar Ramadan dan telah berjaya menyelamatkan 25 tan makanan daripada terbuang dengan nilai RM281,000,” tambahnya.

BACA LAGI: Exco N9 ajak peniaga bazar sedekah lebihan makanan kepada yang memerlukan

Pada lawatan itu Fuziah turut berkesempatan membuat lawatan ke inkubator keusahawanan mesin retort dan nox coffee dikendalikan sepenuhnya penuntut di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS).

“Melalui penubuhan inkubator ini, aktiviti mesin retort dipelbagaikan dengan aktiviti keusahawanan dan penghasilan produk khas pelajar PSIS.

“Kesan penubuhan inkubator ini, satu produk pelajar dihasilkan melalui jenama S-PSIS Retort dan seterusnya hasil jualan produk di sumbangkan kepada Foodbank@PSIS serta digunakan dalam sumbangan khususnya kepada pelajar PSIS,” kata beliau.

Related Articles

Back to top button