Negeri

MB Selangor rakam takziah atas pemergian ADUN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Selangor, Lee Kee Hiong disahkan meninggal dunia pagi tadi.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mendiang Lee Kee Hiong.

Beliau turut memaklumkan bahawa ADUN DAP itu telah berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Kubu Bharu sejak tahun 2013.

“Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada pelbagai pihak dan pasti dirasai terutamanya oleh penduduk Kuala Kubu Baharu yang sudah lama diwakili dan dibantu oleh Puan Lee Kee Hiong sejak sebelum dia menjadi wakil rakyat.

“Mewakili Kerajaan Perpaduan negeri Selangor, saya mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Puan Lee Kee Hiong serta seluruh sahabat dan anggota di dalam Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang kehilangan tokoh berpengalaman,” katanya.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi.

Buat pertama kali beliau mewakili kawasan tersebut pada tahun 2013 apabila menewaskan Ooi Hui Wen dari MCA dengan majoriti 1,702 undi.

Amirudin turut menzahirkan penghargaan buat keluarga mendiang agar diberi kekuatan mengharungi detik yang mencabar itu.

Related Articles

Back to top button