Anwar

PM Anwar pemimpin pertama ucap tahniah di atas kemenangan Prabowo

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Indonesia baharu, Prabowo Subianto selepas diumumkan sebagai pemenang rasmi Pilihan Raya Presiden 2024.

Anwar dalam hantaran di Facebook berkata, beliau dimaklumkan bahawa dirinya adalah pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada Prabowo selepas pengumuman keputusan rasmi pilihan raya diumumkan.

“Saya telah menghubungi Presiden Terpilih Republik Indonesia Yang Mulia Bapak Prabowo Subianto bagi menyampaikan salam tahniah di atas kejayaan beliau dalam Pemilihan Presiden Indonesia yang baru selesai.

“Saya dimaklumkan saya pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan tahniah kepada beliau selepas pengumuman keputusan rasmi PEMILU sebentar tadi.

“Ini cukup bermakna kerana melambangkan nilai persahabatan antara Malaysia dan Indonesia yang amat istimewa sebagai negara tetangga yang dekat dan penting.

“Selamat maju jaya dan saya menyatakan keyakinan bahawa Bapak Prabowo pasti dapat menggalas mandat yang diberikan dengan cemerlang demi kemajuan yang berterusan dan kemakmuran negara Indonesia,” katanya.

Anwar juga berkata, kedua-dua pemimpin itu juga bertekad untuk memperkukuh hubungan dua hala yang mencakup pelbagai aspek sebagai negara jiran dan berikrar untuk bekerjasama rapat di pelbagai forum pelbagai hala terutamanya dalam ruang lingkup ASEAN.

Terdahulu, Prabowo Subianto dipilih sebagai Presiden ke-8 Republik Indonesia setelah selesai Pemilihan Presiden dan Naib Presiden (Pilpres) 2024.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU), Hasyim Asy’ari malam tadi berkata, Prabowo yang juga Menteri Pertahanan dan gandingannya selaku Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka menerima lebih 96 juta undi daripada 164,227,475 undi.

Related Articles

Back to top button