Semasa

PM mahu isu stoking selesai segera, ambil tindakan ikut undang-undang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu penjualan stokin tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka baru-baru ini segera diambil tindakan berdasarkan undang-undang.

Pendirian tegas itu dinyatakan Anwar kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di Seri Perdana pada Rabu.

“Pandangan saya jelas, ada laporan keterlanjuran mesti ada tindakan segera, keputusan ikut jalur hukum dan maju terus, kenapa kita harus terperangkap dengan isu ini berpanjangan?

“Ada laporan ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama… apa lagi Islam.

“Jadi jangan kita terus-menerus dengan perbincangan ini seolah-olah ia satu malapetaka besar di dalam negara,” katanya dan menambah sekiranya tindakan segera telah dilaksanakan, semua pihak perlu berlapang dada.

Baru-baru ini, tular video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah ALLAH tular menerusi media sosial sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.

Pihak terlibat telah membuat permohonan maaf dan setakat ini, 80 laporan polis telah dibuat di seluruh negara. Polis juga sudah merakam keterangan lapan individu termasuk pemilik dan pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd berhubung isu itu.

BACA LAGI: JAKIM beri amaran keras kepada KK Mart, elak perkara berulang lagi

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak tidak berlebih-lebihan menyentuh isu sensitif berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Beliau berkata, isu ini dikhuatiri digunakan sesetengah pihak untuk membangkitkan sentimen 3R (agama, institusi diraja dan kaum).

Isu itu wajar dijadikan pengajaran dan diselesaikan sebaiknya supaya tidak disalah tafsir dan dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

Related Articles

Back to top button