DidikTV tingkat mutu pendidikan murid di luar bandar – PM Anwar
Kandungan pembelajaran sepanjang hayat yang memberi fokus kepada nilai-nilai murni dan pembangunan karakter murid disiarkan melalui DidikTV.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, DidikTV merupakan antara usaha berterusan Kementerian Pendidikan, untuk meningkatkan akses pendidikan seluruh negara.
“Saya tertarik pada pencapaian DidikTV yang membantu ramai anak-anak pelajar, terutama di luar bandar memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
“Saya tegaskan bahawa kita mesti terus berikhtiar dan mencari kaedah baharu untuk meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan anak-anak, termasuk meningkatkan mutu DidikTV,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pada Khamis, Anwar berkesempatan untuk berkunjung ke Balai Berita di Bangsar untuk bertemu dengan pengurusan tertinggi Media Prima Berhad.
Beliau telah diberikan taklimat terkait operasi dan perniagaan syarikat termasuk televisyen, akhbar, radio, pengiklanan dan digital.
“Taklimat turut menyentuh perkembangan DidikTV sejak saluran ini mula bersiaran dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.,” ujarnya.
Pada 17 Februari 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan yang dikenali sebagai DidikTV KPM.
Menurut KPM, inisiatif mewujudkan saluran khusus itu adalah usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua murid di seluruh negara.