ekonomi

Inisiatif ‘New Deal For Business’ bakal dilaksana, tingkat keyakinan pelabur – PM Anwar

Lebih banyak sesi libat urus akan dilaksana kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama pihak korporat, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) untuk menggalakkan aliran masuk dana ke pasaran pertukaran asing tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata begitu melalui satu hantaran di laman Facebooknya sebagai mengulas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 2 Tahun 2024 yang dipengerusikannya pada Khamis.

Menurut Anwar pada mesyuarat itu, Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour memaklumkan bahawa prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) terus bertambah baik.

“Ini adalah hasil pelbagai inisiatif yang diselaraskan antara pihak Kerajaan, BNM, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLICs) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) serta unjuran yang diumumkan oleh Federal Reserve AS semalam.

“Unjuran tersebut menunjukkan bahawa kadar inflasi AS yang lebih terkawal dan pelan utuh normalisasi dasar monetari AS dalam tahun 2024 yang akan mengekang kenaikan dolar AS.

“Sejak memulakan operasi bersama, nilai ringgit telah mengukuh sebanyak 1.4 peratus kepada 4.7135 hari ini daripada 4.7773 pada 23 Februari 2024. Namun begitu, ketidaktentuan pasaran kewangan global akan terus mempengaruhi pergerakan matawang ringgit selagi tindakan dasar monetari ekonomi-ekonomi maju masih tidak jelas,” katanya melalui hantaran tersebut.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan juga berkata kerajaan akan melaksanakan inisiatif ‘New Deal For Business’ (NDFB) menerusi penambahbaikan kecekapan proses dan prosedur serta pelaksanaan reformasi struktur dalam menjalankan perniagaan.

BACA LAGI: PM Anwar bertemu eksekutif tertinggi Nexperia di Hamburg, bincang pelaburan baharu

Beliau berkata mesyuarat MTEN hari ini juga telah meneliti secara mendalam cadangan NDFB itu yang bertujuan untuk meningkatkan kepercayaan pelabur serta melonjakkan pertumbuhan produktiviti, daya saing dan ekonomi negara.

“Justeru, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan semua inisiatif NDFB,” tambahnya.

Melalui hantaran sama Anwar turut memaklumkan, mesyuarat turut membincangkan mengenai ‘Pengukuhan Kerangka Jaminan Pendapatan Usia Tua di Malaysia’ yang menumpukan kepada isu penuaan serta kesannya, termasuk persediaan negara dalam menyediakan jaminan pendapatan usia tua.

Justeru, mesyuarat itu memutuskan satu kajian menyeluruh perlu dijalankan bagi menambah baik kerangka jaminan pendapatan usia tua di Malaysia agar lebih holistik.

Related Articles

Back to top button