Nasional

KBS dan MyCC mantapkan tadbir urus, tatakelola pengurusan kewangan

Pihak pengurusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Mycc) komited melaksanakan usaha menambah baik dan memantapkan lagi tatakelola pengurusan kewangan dalam aspek perolehan kerajaan Madani.

KBS dalam satu kenyataan berkata, usaha tersebut bertujuan memastikan tadbir urus dan tata kelola kewangan negara diurus dengan telus dan terhindar daripada segala penyelewengan serta salah guna kuasa.

“Dalam urusan perolehan kerajaan, tipuan bida merupakan salah satu daripada risiko di samping risiko rasuah, kebocoran maklumat, pecah amanah dan salah guna kuasa.

“Pihak KBS memberi perhatian serius mengenai risiko tersebut dan telah mengadakan beberapa sesi perjumpaan dengan pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam usaha menangani isu kartel tipuan bida yang tertakluk di bawah Akta Persaingan 2010,” katanya.

Susulan itu, katanya, tawaran daripada syarikat atau kontraktor yang menyertai tender dan sebut harga akan diteliti bukan sahaja dalam aspek teknikal dan kewangan tetapi juga bebas daripada kartel tipuan bida.

Selain itu, KBS turut mengingatkan pihak syarikat atau kontraktor supaya membuat pengisytiharan ‘non-collusion’ dan tidak terlibat dalam sebarang pakatan harga semasa menyertai mana-mana perolehan di KBS.

Terdahulu, KBS dan MyCC telah mengadakan perbincangan susulan untuk memperkukuhkan kerjasama khususnya dalam tiga aspek iaitu advokasi mengenai anti persaingan, nasihat polisi daripada pihak MyCC, dan perkongsian maklumat serta pelaporan kes yang disyaki boleh menjadi pelanggaran di bawah Akta Persaingan 2010.

Related Articles

Back to top button