Semasa

KPM jamin hak dapat akses pendidikan terbaik untuk pelajar Sekolah Henry Gurney

Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan akan memastikan murid termasuk di Sekolah Intergriti dan Sekolah Henry Gurney (SHG) tidak akan terpinggir daripada mendapat mana-mana akses pendidikan terbaik.

Menterinya, Fadhlina Sidek menegaskan jaminan itu termasuk mendapat semua bentuk kemudahan dan kaedah pembelajaran mengikut tahap pendidikan dan jenis peperiksaan yang akan diduduki murid terbabit.

Kita beri jaminan ini kerana mereka masuk ke sini dengan umur yang masih di bangku persekolahan dan pendidikan tetap menjadi keutamaan

“Banyak manfaat mereka dapat khususnya soal pendidikan arus perdana dan juga dalam konteks kurikulum dan kokurikulum termasuk penglibatan dalam sukan.

“…sebab itu saya mintak Yang Berhormat Timbalan Menteri Belia dan Sukan (Adam Adli Abd Halim) turut hadir melihat potensi anak-anak ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Hijrah Kasih anjuran bersama KPM dan Jabatan Penjara Malaysia di SHG, Telok Mas, dekat Melaka pada Khamis.

Hadir sama, Komisioner Jeneral Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan.

Fadhlina berkata, biarpun berada di sekolah integriti, iltizam untuk belajar bersungguh-sungguh menyaksikan ramai penghuni mencapai keputusan peperiksaan cemerlang.

BACA LAGI: KPM galak guru hasilkan kandungan bagi tujuan pendidikan berpandukan garis panduan

“..kita mahukan anak-anak ini mencipta yang baik, maknanya dengan kejayaan mereka dalam peperiksaan seperti mana yang saya sebut tadi… ada yang mendapat 9A, 8A, 7A dan 6A dan masuk ke institusi pengajian tinggi,” tambahnya.

Mengulas Program Hijrah Kasih, Fadhlina berkata, program berkenaan yang diterajui oleh Bahagian Pendidikan Islam KPM terbukti berkesan dalam memperkukuh nilai Islam dalam kalangan pelajar khususnya yang beragama Islam.

Related Articles

Back to top button