LPF tak akan luluskan filem berunsur LGBTQ, komunisme dan bertentangan akidah – Menteri
Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak akan meluluskan tayangan mana-mana filem yang memaparkan kandungan yang menyentuh sensitiviti dengan mempromosi gaya hidup LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri), bergantung kepada keseluruhan jalan cerita.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat pada Khamis turut berkata, badan itu turut tidak akan meluluskan tayangan bagi filem yang mengandungi unsur komunisme, Islamofobia, bertentangan dengan akidah Islam dan ajaran sesat.
Jelasnya, pendirian itu susulan peningkatan bagi filem-filem yang memasuki pasaran Malaysia sejak beberapa tahun lalu yang mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan pegangan dan norma kehidupan masyarakat Malaysia.
“Dalam konteks ini suka saya memaklumkan, kerajaan Malaysia tidak pernah meratifikasi mana-mana konvensyen antarabangsa berkaitan LGBTQ serta tidak pernah mengiktiraf sebarang gaya hidup LGBTQ,” katanya.
BACA LAGI: Kerajaan jamin pertahan kedaulatan dan kepentingan negara
Sementara itu tambahnya, dengan kepesatan teknologi digital industri pada masa kini, LPF berdepan pelbagai cabaran dalam memenuhi jangkaan pelbagai pihak termasuk penggiat industri filem dan penyiaran.
LPF juga berdepan cabaran kepada tahap penerimaan dan kematangan khalayak penonton.
Justeru beliau memberi jaminan LPF akan bersikap terbuka dalam memberi khidmat nasihat bagi membantu semua pihak memastikan filem yang dihasilkan dapat ditayangkan kepada umum.
“Dalam menjalankan tugas mengimbangi ini, LPF memberi jaminan bahawa sifat fleksibiliti dan terbuka adalah untuk menggalakkan dan merangsang pertumbuhan filem tempatan namun pada masa yang sama tatakelola dan peraturan serta undang-undang harus dilaksanakan.
“Kita kena juga tangani isu sosial yang semakin kompleks dan rencam yang tidak berlaku zaman dulu tetapi sekarang berleluasa,” katanya.