Semasa

Menteri KBS gesa pelajar rebut peluang biasiswa menerusi ‘Uni Enrol’

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyeru pelajar di negara ini merebut peluang mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pengajian menerusi platform pendaftaran pelajar dalam talian Uni Enrol.

Hannah bercakap dalam sidang media selepas melancarkan jerayawara Uni Enrol Scholar Search 2024 di Kuala Lumpur pada Khamis berkata, platform itu memudahkan pelajar untuk mencari kursus bersesuaian serta biasiswa yang layak dimohon.

Bagi tahun ini jelasnya, keseluruhan RM25 juta biasiswa dari universiti tempatan dan antarabangsa, badan korporat dan yayasan ditawarkan.

“Kadang-kadang apabila pelajar tidak mampu untuk mengikuti kursus yang mereka mahu, mungkin mereka akan terus putus asa sahaja, tetapi dengan adanya platform ini, ada cara untuk menilai kelayakan mereka untuk mendapatkan biasiswa,” katanya.

Sejak 2018, lebih 5,000 pelajar di seluruh negara berjaya mendapatkan biasiswa daripada universiti, korporat dan yayasan dengan memanfaatkan platform Uni Enrol melibatkan keseluruhan RM60 juta.
Maklumat lanjut mengenai tarikh, lokasi dan masa jerayawara Uni Enrol Scholar Search 2024 boleh didapati di laman sesawang https://scholarsearch.unienrol.com/ss2024.

Sementara itu tambah Hannah, beliau akan memaklumkan kepada semua ahli Parlimen berkenaan platform ini memandangkan pejabat ahli Parlimen sering dilawati oleh ibu bapa dan pelajar untuk bertanya berkenaan biasiswa .

Di peringkat kementerian, pihaknya juga sedang berbincang dengan pengendali platform itu Uni Enrol Sdn Bhd untuk menyenaraikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam platform tersebut.

“Langkah itu diharap dapat memberikan pilihan kedua kepada pelajar sekiranya kelayakan mereka tidak mencukupi untuk mengikuti kursus pengajian yang lain,” tambahnya.

BACA LAGI: RUU AUKU dibentang untuk kelulusan Dewan Negara April depan

Uni Enrol Scholar Search 2024 akan menjelajah ke 33 bandar di 10 negeri bermula 23 Mac ini hingga 7 April bagi memberi penerangan kepada pelajar tentang laluan pengajian tinggi dan peluang biasiswa yang disenaraikan menerusi platform berkenaan.

Ketua Pengawai Eksekutif Uni Enrol Rickson Khaw berkata platform itu menyenaraikan 500 jenis biasiswa dan lebih 4,000 kursus pengajian di 120 universiti tempatan dan antarabangsa.

Related Articles

Back to top button