5,000 penggiat industri kreatif bakal dapat manfaat dari kerjasama FINAS- Perkeso
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjangkakan hampir 5,000 penggiat industri kreatif bakal mendapat manfaat dari kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ia susulan kedua-dua pihak akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada April ini bagi memastikan aspek keselamatan sosial pekerja produksi terjamin.
“Sukacita saya ambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa dalam bulan April ini, pihak Perkeso dan juga FINAS akan menandatangani MoU untuk memastikan aspek keselamatan sosial dapat diterapkan dalam beberapa perkara melibatkan FINAS bagi menjamin keselamatan sosial para seniman dan juga mereka yang terlibat dalam aktiviti penggambaran.
“Ini adalah langkah positif yang kita harap akan dapat membantu memastikan sekiranya apa-apa berlaku kepada pelakon dan kru maka setidak-tidaknya ada beberapa perkara asas yang dapat dibantu untuk para seniman,” katanya pada Majlis Iftar Ramadan sempena sambutan Hari Seniman 2024 anjuran FINAS di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, pihaknya sedar mengenai aspek keselamatan sosial waktu bekerja yang sering kali tidak dibincangkan.
“Kita ambil maklum mereka yang terlibat dalam bidang kreatif seperti penggambaran, perfileman, sebagai pelakon ataupun mereka yang bekerja di sebalik tabir, sifat kerja itu adalah separuh masa sepanjang masa. Jadi ada beberapa perkara yang sedang diteliti.
“Saya harap selepas ini akan ada beberapa pengumuman baik yang boleh kita berikan terutama untuk para seniman.
“Kita sedang teliti juga untuk wartawan yang melakukan tugasan secara separuh masa yang disebut sebagai pemberita sambilan. Itu pada hari lain,” tambahnya.
BACA LAGI: Selangor bakal perkenal dasar ekonomi kreatif
Terdahulu, Fahmi menyerahkan sumbangan kepada 50 penggiat industri seni tanah air merangkumi filem, televisyen, muzik, penulisan dan seni lukis.
Sumbangan itu hasil kerjasama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam, Yayasan Felda, Yayasan Angkasawan Negara, Koperasi Al-Najah, Eco Marine Group Berhad dan AHB Holding Berhad.