Bazar Ramadan RAHMAH, MySaveFood peringkat negeri Sarawak dilancarkan
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh telah melancarkan program MySaveFood di Bazar Ramadan Metrocity Matang di Kuching pada Jumaat.
Melalui satu kenyataan, beliau berkata pelancaran itu bagi membudayakan satu sistem pengurusan lebihan makanan yang efektif di bazar Ramadan sekaligus mengurangkan pembaziran makanan sepanjang bulan Ramadan ini.
“Menerusi program MYSaveFood ini, KPDN berjaya menyelamatkan 15,000 kilogram pelepasan gas rumah hijau di seluruh negara setakat Khamis.
“Selain itu, pihak kami berjaya menyelamatkan lebih 14,000 tan makanan dan minum.
“Di Bazar Ramadan Stutong, kita selamatkan 199 kilogram makanan. Sementara di Bazar Ramadan Kota Samarahan, 292.6 kilogram makanan dan di Bazar Ramadan Metrocity, 16.95 kilogram,” katanya sekali gus melancarkan Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2024
Mengulas lanjut Fuziah berkata, program ini merupakan kerjasama strategik KPDN bersama Pertubuhan Pemuda GEMA dan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) yang melibatkan seramai 50 orang sukarelawan meliputi 5 buah universiti dari IPTA dan IPTS antaranya Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR), Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang (IPBL), Politeknik Kuching (POLIKU), Kolej SIDMA Sarawak (SIDMA) dan i-CATS University College (i-CATS).
Penglibatan golongan muda dalam menjayakan Projek MySaveFood itu jelasnya mencerminkan tahap kesedaran yang tinggi usaha mengelakkan pembaziran makanan.
“Makanan dan minuman yang tidak habis dijual diagihkan secara percuma kepada golongan sasar seperti pelajar universiti, asnaf, gelandangan, rumah kebajikan dan rumah ibadah,” tambahnya.
BACA LAGI: KPDN selamatkan 8.1 tan makanan tak terjual di pasar Ramadan
Mengulas mengenai BRR, beliau berkata ia merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Payung RAHMAH MADANI untuk menggalakkan para peniaga BRR menawarkan Menu RAHMAH
sebagai usaha untuk mengurangkan beban kos sara hidup sepanjang bulan Ramadan.
Konsep pelaksanaan BRR juga adalah untuk menggalakkan peniaga menyediakan makanan berteraskan format penyediaan Menu RAHMAH sebagai pilihan menu tambahan pada harga RM5 dan ke bawah.
“BRR turut mengambil langkah proaktif dalam menggalakkan perniagaan yang berkonsepkan digital khususnya dalam sektor peruncitan melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative – ReDI).
“Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan pendedahan kepada peniaga dan pengguna menggunakan kemudahah ewallet dalam berurusniaga,” tambahnya melalui kenyataan tersebut.