Semasa

Jemaah Menteri setuju tujuh cadangan pindaan Perlembagaan berhubung isu kewarganegaraan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk tidak meneruskan dengan cadangan pindaan Perlembagaan berhubung kewarganegaraan untuk anak-anak terdampar dan tanpa kerakyatan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pandangan diterima melalui pertemuan intensif dengan Ahli Parlimen, wakil parti politik, dan juga pakar perundangan dan wakil agensi negeri.

“Semua cadangan yang dibentangkan (pindaan) oleh Kementerian Dalam Negeri dipersetujui kecuali yang membabitkan 19B dan 14(1)(e), yang kekal seperti asal.”

“Seksyen 19B Bahagian III Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan berkait penganugerahan hak kewarganegaraan secara perundangan kepada bayi terdampar dan kanak-kanak tanpa warganegara.

“Cadangan kami nak ubah membabitkan 19B dan 14(1)(e) kepada warganegara secara pendaftaran,” kata Saifuddin seperti dilapor.

Sebelum ini, pelbagai aktivis dan NGO mengkritik dengan keras pindaan tersebut, menyatakan bahawa ia boleh memperburuk masalah tanpa kewarganegaraan atau meletakkan individu tanpa kewarganegaraan dalam situasi yang berisiko.

Di bawah Seksyen 19B, Bahagian III Jadual Kedua, anak terdampar diberikan kewarganegaraan automatik melalui “operasi undang-undang”, seperti yang diperuntukkan di bawah peruntukan pembuktian yang memberikan mereka manfaat keraguan mengenai tarikh dan tempat kelahiran mereka, dengan mengambil kira bahawa status ibu bapa biologi mereka tidak diketahui dan tidak dapat dibuktikan.

Sementara itu, di bawah Seksyen 14(e), Bahagian II Jadual Kedua, perlindungan yang serupa di bawah operasi undang-undang diberikan kepada orang yang rentan dan terjejas, seperti kanak-kanak yang lahir luar nikah, kanak-kanak tanpa negara dan ditinggalkan yang dijadikan anak angkat; dan komuniti pribumi.

Sementara itu tambah Saifuddin, Jemaah Menteri telah mengingatkan Kementerian Dalam Negeri bahawa ia perlu memastikan proses permohonan kewarganegaraan diuruskan melalui peraturan, prosedur, dan mekanisme yang lebih jelas, berhemah, dan teliti setelah pindaan tersebut diluluskan.

BACA LAGI: Mesyuarat Majlis Raja-Raja bincang hal pentadbiran Islam termasuk kewarganegaraan

Beliau sementara itu berkata, akan mengadakan satu lagi sesi libat urus dengan kelab penyokong Ahli Parlimen pada Isnin ini untuk memberi penerangan lanjut mengenai tujuh lagi cadangan pindaan yang dipersetujui.

Beliau berharap apabila cadangan KDN itu diluluskan di Parlimen, ia akan membolehkan proses permohonan kewarganegaraan dipercepat dan dilakukan dengan lebih jelas serta cermat.

Related Articles

Back to top button